Laksana Segera Pemberian Baucar Buku,
Tingkatkan Komitmen Pupuk Minat Membaca
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman pemberian baucar buku RM50 kepada murid Tahun 4 hingga Tahun 6 dan RM100 kepada murid sekolah menengah, penuntut di institusi pendidikan tinggi dan pelajar di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Pengumuman YAB Perdana Menteri mencerminkan keperihatinan beliau terhadap kepentingan menyemai minat membaca dalam kalangan generasi muda. Ia juga bertepatan dengan usaha berterusan KPM untuk mempertingkatkan budaya membaca dalam kalangan murid/pelajar menerusi penganjuran pelbagai program galakan di setiap peringkat.
Pemberian baucar buku yang melibatkan murid/pelajar institusi pendidikan bawah KPM akan disalurkan bermula pada Jumaat, 31 Mei 2024, jam 2.00 petang menerusi aplikasi DELIMa menggunakan kaedah berikut:
- Murid/pelajar log masuk aplikasi DELIMa menggunakan id/password DELIMa dan klik ikon Kota Buku Digital.
- Murid/pelajar mendaftar akaun di Kota Buku Digital dan kredit akan dipapar di akaun masing-masing.
- Murid/pelajar boleh memilih judul yang disukai daripada kepelbagaian judul yang ada terutamanya daripada JUDUL CADANGAN MADANI.
- Setelah selesai memilih, murid/pelajar boleh daftar keluar (checkout) dan memilih pilihan bayaran kredit e-kedai (e-store credit).
- Buku yang dibeli akan dihantar terus ke alamat yang didaftarkan.
- Proses selesai.
TAMAT
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
31 MEI 2024
Catatan: